Khamis, 2 Januari 2020 | 1:16pm
DUA lelaki suku Pala’u ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) kerana menangkap ikan menggunakan bahan letupan di perairan Semporna, malam tadi. - Foto ihsan PPM
DUA lelaki suku Pala’u ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) kerana menangkap ikan menggunakan bahan letupan di perairan Semporna, malam tadi. - Foto ihsan PPM

2 lelaki Pala'u dicekup guna bom ikan

SEMPORNA: Dua lelaki suku Pala’u ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) kerana menangkap ikan menggunakan bahan letupan di perairan Semporna di sini, malam tadi.

Dua suspek berusia 20 dan 40 tahun itu yang menggunakan perahu jenis bot pam ditahan ketika sedang leka menjalankan aktiviti mengebom ikan di perairan berkenaan pada jam 9 malam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali, berkata siasatan awal mendapati suspek yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah, mengaku menetap di Kampung Labuan Haji, Pulau Bum-bum.

“Pemeriksaan dalam ruang perahu dinaiki suspek menemui lebih 20 kilogram ikan pelbagai jenis yang disyaki ditangkap menggunakan kaedah letupan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, tangkapan bersama rampasan termasuk sebuah bot pam dan enjin sangkut dianggarkan berjumlah RM8,000 dibawa ke Pangkalan Operasi PPM Semporna untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 26 (1)(c) Akta Perikanan 1985 dan jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM20,000 selain penjara maksimum dua tahun.

Berita Harian X