Rabu, 1 Januari 2020 | 6:50pm
TIMBALAN Komander Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara,Hulu Kinta, Asisten Komisioner Mohamed Rafiq Mohamed Mustafa (empat dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan daun ketum yang dirampas dalam Penugasan Op Wawasan Kedah/Perlis di Markas Tektikal PGA. NSTP/Amran Hamid
TIMBALAN Komander Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara,Hulu Kinta, Asisten Komisioner Mohamed Rafiq Mohamed Mustafa (empat dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan daun ketum yang dirampas dalam Penugasan Op Wawasan Kedah/Perlis di Markas Tektikal PGA. NSTP/Amran Hamid

PGA rampas 240kg ketum ditinggalkan di pagar sempadan

BUKIT KAYU HITAM: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 240 kilogram daun ketum dianggar bernilai RM36,000 di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis, awal pagi semalam.

Dalam rondaan jam 3 pagi, anggota PGA yang melakukan penugasan Ops Wawasan Kedah/Perlis menemui lapan guni ketum dilonggok berdekatan pagar sempadan.

Timbalan Komander Batalion 1 PGA Briged Utara, Ulu Kinta, Perak, Asisten Komisioner Rafiq Mohamed Mustafa, berkata pihaknya kemudian melakukan intipan di kawasan itu, namun tiada sesiapa datang mengambil guni berkenaan.

“Permintaan tinggi terhadap daun ketum di negara jiran menyebabkan terdapat pihak cuba menyeludup bahan berkenaan ke sana, namun gagal disebabkan kawalan ketat di kawasan itu.

“Semua daun ketum berkenaan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media di Markas Taktikal Briged Utara, di sini, hari ini.

Sementara itu, Rafiq memaklumkan pihaknya turut merampas 280 ekor ular tedung selar bernilai RM57,000 di sebuah pondok di Felda Mata Air, Padang Besar, Perlis pada 24 Disember lalu.

Ular tedung yang disimpan dalam 55 guni, dipercayai cuba diseludup ke negara jiran. Reptilia berkenaan kemudian diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

Sepanjang penugasan Ops Wawasan Kedah/Perlis di bawah Batalion 1 PGA bermula November lalu, sejumlah 12.5 tan daun ketum bernilai lebih RM1 juta sudah dirampas.

Berita Harian X