Selasa, 31 Disember 2019 | 4:35pm
YUSOF Abdul Malek kehilangan lima gigi, selain cedera pada bahu, tangan dan kaki selepas motosikal ditungganginya merempuh lembu yang tiba-tiba melintas jalan di hadapan deretan gerai kraftangan di Jalan Paya Datuk. - Foto Hassan Omar
YUSOF Abdul Malek kehilangan lima gigi, selain cedera pada bahu, tangan dan kaki selepas motosikal ditungganginya merempuh lembu yang tiba-tiba melintas jalan di hadapan deretan gerai kraftangan di Jalan Paya Datuk. - Foto Hassan Omar

Hilang lima gigi rempuh lembu

ALOR GAJAH: Hasrat seorang remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk berbincang dengan rakan mengenai cadangan mencari kerja tidak kesampaian apabila motosikal yang ditunggangnya merempuh lembu dalam kemalangan, malam tadi.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, Yusof Abdul Malek, 17, kehilangan lima gigi, selain cedera pada bahu, tangan dan kaki selepas motosikal Yamaha LC135 ditungganginya merempuh lembu yang tiba-tiba melintas jalan di hadapan deretan gerai kraftangan di Jalan Paya Datuk, di sini.

Bapa mangsa, Abdul Malek Mustafa, 55, berkata ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari kediaman mereka di Taman Kelemak Perdana ke kediaman rakannya di Taman Kebaya.

“Dia (Yusof) baru habis SPM dan mahu berjumpa rakannya untuk merancang mencari kerja sambilan di sekitar bandar Alor Gajah.

“Menurut beberapa rakannya yang menunggang motosikal di belakangnya, lembu itu secara tiba-tiba lari melintas jalan, menyebabkan anak saya tidak sempat mengelak lalu terlanggar haiwan itu sebelum tercampak ke tepi jalan.

“Seorang pemandu kereta berhati mulia membantu membawa anak saya ke Hospital Alor Gajah yang hanya kira-kira 800 meter dari lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui di bandar ini, hari ini.

Abdul Malek berkata, dia bersyukur apabila ujian x-ray mendapati kepala anaknya tidak cedera, manakala besi yang pernah dimasukkan ke dalam kaki kanan mangsa akibat terbabit kemalangan jalan raya tiga tahun lalu, tidak terjejas.

Katanya, lembu berkenaan dipercayai patah kaki kanan belakang akibat dirempuh motosikal mangsa dan masih berada di tepi jalan berhampiran lokasi kejadian setakat tengah hari tadi.

Bagaimanapun dia tidak bercadang membuat laporan polis kerana yakin tiada sesiapa pun bakal mengaku pemilik lembu berkenaan bagi mengelak daripada diambil tindakan undang-undang dan tuntutan ganti rugi atas kejadian itu.

Abdul Malek berkata, kaki kanan mangsa patah selepas motosikal ditungganginya melanggar van yang secara tiba-tiba keluar simpang di hadapan Hospital Alor Gajah pada pertengahan tahun 2016.

Berita Harian X