Isnin, 30 Disember 2019 | 10:51pm

Pembuangan sisa bahan 'glycerine' disyaki punca pencemaran - LUAS

KUALA LUMPUR: Pembuangan sisa bahan ‘glycerine’ oleh pihak tidak bertanggungjawab, disyaki menjadi punca pencemaran di longkang besar berdekatan Masjid As-Salam, Bukit Sentosa, Rawang, Selangor.

Menurut Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dalam satu kenyataan, pihaknya semalam menerima laporan daripada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) pada jam 7.30 malam mengenai pelepasan air berbuih dan ikan mati di lokasi 19.9 kilometer dari Loji Pembersihan Air (LPA) terdekat, iaitu LPA Rantau Panjang melalui Sungai Guntong.

“Siasatan oleh LUAS, Air Selangor dan Majlis Daerah Hulu Selangor mengesyaki ia berpunca daripada pembuangan sisa bahan ‘glycerine’ ke lurang kumbahan pembetung awam Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) di kawasan perindustrian Kamunting Bukit Sentosa yang menyebabkan sisa air berbuih berwarna putih di kawasan longkang berhampiran sebelum memasuki Sungai Guntong,” menurut kenyataan itu.

Susulan itu, katanya, pihak IWK sudah diarah membuat kerja pembersihan pada lurang kumbahan terbabit dengan segera.

Pensampelan turut dilakukan LUAS dan Air Selangor di beberapa lokasi pencemaran dan hingga jam 10 pagi tadi, pencemaran di Loji Sungai Selangor SSP 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dapat dielakkan. - BERNAMA

Berita Harian X