Ahad, 29 Disember 2019 | 9:50am
MAYAT David John, ditemui oleh kru feri penumpang berhampiran Jeti Kuah, Langkawi. - Foto ihsan PDRM
MAYAT David John, ditemui oleh kru feri penumpang berhampiran Jeti Kuah, Langkawi. - Foto ihsan PDRM

Mayat warga Australia ditemui hanyut

LANGKAWI: Mayat seorang lelaki warga Australia ditemui hanyut bersama bot gentian kaca di perairan berdekatan Terminal Feri Kuah di sini.

Dalam kejadian jam 11.20 malam itu, mayat David John, 81, dikesan kru feri penumpang yang baru tiba dari Kuala Perlis dan sedang menghampiri jeti untuk berlabuh.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, berkata kru feri memaklumkan melihat sebuah bot terbalik di kawasan perairan berkenaan.

BOT gentian kaca dipercayai dinaiki David John yang ditemui mati oleh kru feri penumpang berhampiran Jeti Kuah, Langkawi. - Foto PDRM
BOT gentian kaca dipercayai dinaiki David John yang ditemui mati oleh kru feri penumpang berhampiran Jeti Kuah, Langkawi. - Foto PDRM

“Kapten feri, Mohamad Elvin Tieng Abdullah, kemudian mengesahkan ketika feri mahu berlabuh, ternampak bot dalam keadaan terbalik.

“Sejurus feri menghampiri jeti, bot itu berpusing dan beliau mendapati terdapat mayat lelaki tersangkut di dalam bot berkenaan,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Iqbal berkata, bomba membawa mayat yang dihantar ke Unit Forensik Hospital Langkawi untuk tindakan lanjut.

Difahamkan, bedah siasat ke atas mangsa akan dilakukan pagi ini.

Berita Harian X