Khamis, 26 Disember 2019 | 6:47pm
Saksi ke-18, yang juga abang Nazrin, Dr Abdul Aziz Hassan (kiri) hadir perbicaraan kes di Mahkamah Tinggi Shah Alam. - NSTP/Faiz Anuar
Saksi ke-18, yang juga abang Nazrin, Dr Abdul Aziz Hassan (kiri) hadir perbicaraan kes di Mahkamah Tinggi Shah Alam. - NSTP/Faiz Anuar

Luahan hati Nazrin dikemukakan di mahkamah

SHAH ALAM: Beberapa artikel di dalam blog mimpipari.blogspot.com dikemukakan sebagai eksibit dalam prosiding bicara kematian Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan, di sini, hari ini.

Isi kandungan empat artikel bahasa Inggeris itu, didakwa pihak pembelaan sebagai tulisan Nazrin turut dibacakan peguam bela semua tertuduh, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman.

Antara isi kandungan blog itu adalah luahan kekecewaan Nazrin terhadap ‘abang’ yang didakwa pihak pembelaan sebagai merujuk kepada saksi ke-18, yang juga abang Nazrin, Dr Abdul Aziz Hassan.

Melalui artikel berkenaan, penulis meluahkan rasa kecewa terhadap ‘abang’ yang dianggapnya sebagai hero dalam keluarga.

Penulis turut melahirkan rasa kesal dengan tindakan ‘abang’ yang didakwanya menjual harta pusaka keluarga selain kecewa dengan beberapa lagi tindakan lelaki berkenaan.

“Ibu meninggal dunia pada tahun ini (2004) dan setiap minggu sebelum meninggal, ibu bertanya bila hartanya akan dipulangkan oleh abang.

“Malah, dua minggu sebelum meninggal dunia, dia (ibu) mengungkit perkara itu namun dia akhirnya meninggal dunia tanpa hajatnya tertunai,” kata Mohamad Shafee.

Ketika Muhammad Shafee membaca isi kandungan artikel berkenaan, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Salim Soib@Hamid membantah atas alasan ia tidak baik jika dibacakan kepada semua di mahkamah.

Ab Karim kemudian membuat keputusan supaya Abdul Aziz membaca terlebih dahulu dokumen itu dan jika bersetuju, Muhammad Shafee boleh meneruskan pembacaan.

Dalam sesi soal balas hari ini, Abdul Aziz mengakui hubungannya dengan Nazrin tidak baik sehingga 2007.

Saksi juga menjawab berkemungkinan individu yang dirujuk sebagai ‘abang’ itu juga adalah dirinya.

Kelmarin, Abdul Aziz memberitahu mahkamah, hubungan dia dan Nazrin adalah baik selain menyifatkan dirinya seperti seorang ‘bapa’ kepada adiknya itu kerana bapa mereka meninggal dunia ketika dia berusia 22 tahun manakala Nazrin berusia 12 tahun.

Abdul Aziz memberi keterangan terhadap isteri Nazrin, Samirah, 44, yang juga bekas Eksekutif Kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), serta dua remaja lelaki masing-masing berumur 17 dan 14 tahun, didakwa membunuh Nazrin.

Turut didakwa ialah seorang warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang masih bebas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di rumah di Mutiara Homes, Mutiara Damansara, Petaling Jaya antara 11.30 malam pada 13 Jun 2018 dan 4 pagi keesokannya.

Perbicaraan bersambung esok.

Berita Harian X