Khamis, 26 Disember 2019 | 6:03pm
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han (tiga darikiri) ketika pelancaran lori kompaktor KDEB Waste Management di Dataran Kemerdekaan Shah Alam. - NSTP/Sairien Nafis
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han (tiga darikiri) ketika pelancaran lori kompaktor KDEB Waste Management di Dataran Kemerdekaan Shah Alam. - NSTP/Sairien Nafis

IWK perlu tingkatkan pengawasan

SHAH ALAM: Indah Water Konsortium (IWK) perlu mempertingkatkan sistem pengawasan terhadap asetnya bagi membantu mencegah insiden pencemaran sumber air seperti yang berlaku baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han, berkata penguatkuasaan terhadap sumber air juga perlu membabitkan semua agensi tidak kira bawah kerajaan Selangor mahupun Kerajaan Persekutuan.

Katanya, walaupun pencemaran yang berlaku pada Sabtu lalu di kawasan seliaan IWK, ia bukan salah agensi berkenaan berikutan kawasan terbabit sunyi.

“Semua loji rawatan kumbahan IWK unmanned (tidak dioperasikan manusia), tiada orang jaga. Ia satu prosedur operasi standard (SOP) biasa.

“Kami tidak salahkan IWK tetapi kerajaan negeri mahu bekerjasama dengan semua agensi terbabit termasuk IWK.

“Sungai Semenyih ini panjang. Tak kan kita nak tutup semua sistem kumbahan,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Air Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar seperti dilaporkan Berita Harian semalam.

Dalam laporan muka depan itu, Dr Xavier dilaporkan berkata, kelemahan aspek penguatkuasaan kerajaan Selangor antara sebab gangguan bekalan air berlaku susulan pencemaran air mentah.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han. - NSTP/Sairien Nafis
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han. - NSTP/Sairien Nafis

Sze Han berkata, walaupun loji rawatan kumbahan milik IWK tidak dioperasikan manusia, beliau lihat ada keperluan untuk pihak itu membuat rondaan supaya dapat mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab daripada mengambil kesempatan membuang bahan kimia melalui lurang kumbahan.

Sabtu lalu, media melaporkan, bekalan air di empat daerah negeri ini terjejas membabitkan 348 kawasan dan 328,957 akaun pengguna, berikutan masalah pencemaran bau di Sungai Semenyih.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Halem Mat Som, dilaporkan berkata insiden terbabit menyebabkan Loji Rawatan Air Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas sepenuhnya.

Susulan itu, beliau berkata, lokasi yang terjejas ialah di sekitar Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.

Berita Harian X