X
Selasa, 24 Disember 2019 | 10:45pm

Kanak-kanak balik tuisyen maut dirempuh MPV

KANGAR: Seorang kanak-kanak maut, manakala bapa saudara dan sepupunya parah selepas motosikal ditunggang mereka dirempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 13 Jalan Kangar-Alor Setar, berdekatan Simpang Ampat di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, mangsa yang maut, Irfan Zahran Mohammad Yazid, 6, manakala bapa saudaranya, Rosli Hussin, 45, dan anak lelaki Rosli, Muhammad Muhaimin, 6, parah pada bahagian kepala dan kaki.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew, berkata ketika kejadian motosikal mangsa dalam perjalanan pulang ke Simpang Ampat selepas Rosli mengambil mangsa dan anaknya dari sebuah pusat tuisyen di Kampung Bunga Emas.

“Bagaimanapun, ketika motosikal mangsa tiba di simpang Jalan Kangar-Alor Setar, sebuah MPV Toyota Estima yang dipandu pelajar berusia 20 tahun dari arah Alor Setar terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh mereka.

“Akibat dari rempuhan itu, Irfan Zahran maut di tempat kejadian, manakala penunggang motosikal putus jari kaki kanan dan seorang lagi kanak-kanak parah di kepala dan anggota badan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Wari berkata, pemandu kereta bersama penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar untuk dibedah siasat dan dua lagi mangsa masih dirawat di Unit Kecemasan HTF.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan punca sebenar kemalangan masih disiasat,” katanya.

Berita Harian X