Ahad, 22 Disember 2019 | 12:49pm
LRA Sungai Semenyih
LRA Sungai Semenyih

LRA Sungai Semenyih belum boleh beroperasi akibat pencemaran bau

KUALA LUMPUR: Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih masih belum boleh beroperasi berikutan paras pencemaran bau di Sungai Semenyih berada pada paras tiga ton setakat jam 6.30 pagi tadi.

LRA itu terpaksa dihenti tugas sepenuhnya susulan insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan, hari ini, memaklumkan LRA itu masih belum dioperasikan sehinggalah bacaan mencapai paras sifar ton, iaitu tiada langsung pencemaran bau.

Katanya, pihak Indah Water Konsortium (IWK) dan agensi berkaitan, termasuk Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), sedang giat menjalankan kerja pembersihan lurang kumbahan (manhole) berhampiran loji rawatan kumbahan (LRK) di mana ‘effluent’ yang menyebabkan pencemaran bau disedut keluar.

“Kerja pendosan ‘activated carbon’ juga sudah dilaksanakan bagi mengurangkan kesan pencemaran bau di Sungai Semenyih,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, kenyataan berkenaan turut memaklumkan LRK Bukit Tampoi yang menerima sumber air mentah dari Sungai Semenyih, juga terpaksa dihenti tugas bermula jam 3.30 petang semalam yang menyebabkan 336,930 akaun di 366 kawasan terjejas.

Kawasan terjejas di daerah Kuala Langat ialah Kampung Bukit Changgang, Kampung Labohan Dagang, Kampung Olak Lempit, Kampung Orang Asli Bukit Bangkong, Bukit Tampoi, Kampung Selangor Dredging, Kampung Sungai Manggis, Kilang ISF Dengkil, Kompleks Perabot Olak Lempit, Pusat Serenti, RRM Bukit Changgang, Telor Datok, Taman Ambar, Taman Arked, Taman Changgang Jaya, Taman Seri Dagang, Taman Seri Manggis, Taman Seri Telok Datok dan Taman Topaz.

“Bantuan bekalan air kecemasan terus dipergiatkan dan lori tangki digerakkan ke kawasan terjejas dengan keutamaan diberi kepada pengguna dan premis kritikal serta kecemasan, termasuk hospital. Sebanyak 11 pusat khidmat setempat dan pili awam masih meneruskan operasi 24 jam.

“Pihak Air Selangor menjangkakan tempoh masa pemulihan gangguan bekalan ini mengambil sedikit masa,” menurut kenyataan itu.

Air Selangor menyatakan pihaknya akan mengeluarkan hebahan dan makluman terkini dari semasa ke semasa, serta mengambil tindakan perlu bagi mengurangkan impak gangguan terhadap pengguna.

Orang ramai juga boleh merujuk aplikasi telefon bimbit ‘Air Selangor’ atau laman sesawang: www.airselangor.com bagi mengetahui perkembangan berkaitan insiden itu. – BERNAMA

Berita Harian X