Sabtu, 21 Disember 2019 | 7:36pm

Siasatan kes bot JKDM ditembak: Polis bekerjasama dengan ESSCOM

SEMPORNA: Polis sedang melengkapkan siasatan, termasuk bekerjasama dengan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) untuk mendapatkan maklumat lengkap berhubung suspek terbabit dalam insiden bot Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) ditembak, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Sabarudin Rahmat, berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

“Ini kerana tembakan dilepaskan suspek boleh menyebabkan kemalangan jiwa terhadap pasukan JKDM. Hasil siasatan mendapati kira-kira 50 das tembakan dilepaskan oleh suspek, namun tiada yang kena pada bot.

“Justeru, polis kini dalam usaha melengkapkan siasatan dan bekerjasama dengan pihak ESSCOM bagi mendapatkan maklumat suspek terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Sebelum ini, pihaknya menerima laporan pada jam 9.56 malam tadi mengenai kejadian bot penguat kuasa JKDM ditembak oleh pihak tidak dikenali.

“Hasil siasatan mendapati pada jam 3.40 petang semalam, sepasukan penguat kuasa JKDM yang berpangkalan di Lahad Datu dengan diketuai Ketua Kastam Daerah Lahad Datu bersama empat anggota, bergerak ke perairan Semporna menaiki bot Pemintas 103 untuk membuat risikan terhadap penyeludupan minyak di perairan terbabit.

“Ketika menghampiri Pulau Bohey Dulang, pasukan terbabit melihat ada sebuah bot laju berukuran enam meter berwarna putih dan biru dengan dianggarkan tujuh orang berada di dalamnya. Bot itu memecut laju dalam jarak satu kilometer dari bot pasukan penguat kuasa terbabit.

“Bot penguat kuasa itu cuba memintas bot suspek dan selepas ‘Bacon Light’ dipasang dan siren dibunyikan, bot suspek masih enggan berhenti. Sebaliknya apabila melihat bot pasukan penguat kuasa semakin menghampiri dengan jarak kira-kira 200 meter, suspek tiba-tiba melepaskan tembakan ke arah bot JKDM,” katanya.

Sabarudin berkata, susulan tembakan itu dan bagi mempertahankan diri, pihak JKDM membalas tembakan menyebabkan suspek memecut bot terus ke arah perairan antarabangsa Filipina.

“Tiada sebarang kecederaan terhadap pasukan penguat kuasa JKDM, namun bot suspek berjaya memecut ke arah Pulau Malamanuk, Filipina,” katanya.

Berita Harian X