Sabtu, 21 Disember 2019 | 12:08pm

Samun guna lori besi buruk

KUALA PILAH: Dua suspek lelaki bersama seorang wanita dipercayai sedang hamil dikesan berpura-pura mahu membeli barangan lusuh, termasuk besi buruk sebelum melarikan pelbagai barangan berharga dari rumah penduduk.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Gani, berkata ketiga-tiga suspek disyaki terbabit dalam beberapa kes pecah rumah yang dilaporkan di Johol dan Terachi, di sini, dengan usaha memburu kumpulan itu sedang giat dijalankan.

“Kita sedang giat memburu suspek, dengan fotofit salah seorang daripadanya berjaya dihasilkan berpandu kepada keterangan diberikan mangsa kegiatan jenayah mereka. Dalam kejadian sebelum ini, suspek yang menggunakan lori besi buruk berpura-pura mahu membeli barang lusuh di sesebuah rumah disasarkan mereka.

“Ketika sibuk melakukan timbangan, seorang daripada mereka akan masuk ke rumah mangsa tanpa disedari untuk mengambil barang berharga. “Berdasarkan maklumat, polis berjaya melakar (fotofit) salah seorang daripada suspek,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Amran berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menghubungi polis untuk siasatan lanjut.

Katanya, orang ramai boleh menghubungi Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Pilah di talian 06-4842999 atau pegawai penyiasat Inspektor Mohd Khairul Izaq Abd Kadir di talian 011-15641601.

Sejak semalam tular di laman sosial satu fotofit individu yang dikehendaki polis kerana terbabit dalam kejadian pecah rumah dengan menaiki sebuah lori, namun nombor pendaftarannya tidak dapat dikenal pasti.

Berita Harian X