Khamis, 19 Disember 2019 | 1:29pm
Ketua Seksyen Siasatan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya Shamsul Nizam Khalil (dua, kiri) melihat sebahagian kasut tiruan berjenama yang dirampas dalam satu serbuan Operasi Barang Tiruan Seksyen Taktikal di sebuah kilang kasut sekitar Kawasan Perindustrian Menglembu malam ini. - Foto BERNAMA
Ketua Seksyen Siasatan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya Shamsul Nizam Khalil (dua, kiri) melihat sebahagian kasut tiruan berjenama yang dirampas dalam satu serbuan Operasi Barang Tiruan Seksyen Taktikal di sebuah kilang kasut sekitar Kawasan Perindustrian Menglembu malam ini. - Foto BERNAMA

KPDNHEP rampas 27,103 kasut dan selipar tiruan bernilai RM1.3 juta

IPOH: Premis memproses kasut dan selipar tiruan pelbagai jenama terkenal di Kawasan Perindustrian Mengelembu dan Kawasan Perindustrian Chandan Raya di sini, diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya, semalam.

Dalam serbuan berasingan bermula jam 11.30 pagi di dua premis berkenaan itu berjaya merampas sebanyak 27,103 kasut dan selipar tiruan pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM1.3 juta.

Ketua Seksyen Siasatan KPDNHEP Putrajaya, Shamsul Nizam Khalil, berkata serbuan itu dijalankan selepas pihaknya menjalankan risikan selama dua minggu di kedua-dua lokasi berkenaan.

“Hasil pemeriksaan ke atas premis yang terbabit mendapati ia dijadikan tempat mengilang dan tempat penyimpanan pelbagai jenis selipar dan kasut berjenama yang disyaki tiruan.

“Penguatkuasa KPDNHEP turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun yang dipercayai pemilik premis dalam serbuan pertama untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataannya di sini.

Shamsul Nizam berkata, hasil siasatan awal mendapati kesemua barangan rampasan itu dipercayai untuk edaran serta jualan di sekitar negeri ini dan juga negeri di kawasan utara.

Katanya, premis berkenaan dipercayai sudah beroperasi selama lima tahun dan pihaknya sedang menjalankan siasatan sama ada aktiviti itu dijalankan individu perseorangan atau sindiket.

Menurutnya, pihaknya sudah menyita kesemua barangan berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barangan yang diletakkan perihal dagangan palsu dan bagi perbadanan tidak melebihi 15,000 bagi setiap barangan.

Berita Harian X