Khamis, 19 Disember 2019 | 1:10pm

Kementerian Pertahanan tingkat siap siaga ATM

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan hari ini mengeluarkan ‘kad laporan’ usaha dan inisiatif yang dilaksanakan dalam sektor pertahanan negara serta pencapaian sepanjang tahun 2019.

Setebal 19 muka surat, ia menyenaraikan empat teras utama kementerian yang diterajui Mohamad Sabu, iaitu pembinaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang wibawa, pertahanan negara bebas daripada ancaman luar, integriti dalam pengurusan kewangan dan perolehan, serta pelestarian kesejahteraan warga dan veteran ATM.

Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang dibentangkan di Parlimen pada 2 Disember lalu adalah KPP yang pertama dan menggariskan hala tuju strategik dan perancangan pertahanan negara.

Bagi membentuk ATM yang wibawa, inisiatif dilaksanakan menerusi peningkatan kesiagaan ketumbukan ATM yang berupaya melakukan sebarang misi pada bila-bila masa dan pengukuhan kawalan keselamatan perairan negara melalui operasi bersepadu bersama agensi luar.

Kawalan keselamatan sempadan negara turut dikukuhkan menerusi Op Gabungan seperti Op Kerisparang, Op Jagakawan dan Op Balasah dilaksanakan Tentera Darat (TD), Op Gateway dan Op Eye In The Sky oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Op Trilateral Maritime Patrol oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selain Op Pasir dan Op Pesisir Pantai yang dijalankan secara bersama.

Kementerian Pertahanan juga menerima peruntukan stabil dan mampan dengan peningkatan peratusan bajet sebanyak 11.92 peratus bagi tahun 2020, kajian semula prosedur operasi standard (SOP) perolehan agar lebih telus, cekap dan berkesan berdasarkan peraturan semasa yang berkuatkuasa turut dilakukan.

Peranan ATM dalam misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut ditingkatkan terutama di United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL) di Lubnan, manakala pengoperasian Hospital Medan Malaysia di Cox’s Bazar dilanjutkan sehingga 2021.

Selaras kewujudan ancaman terhadap keselamatan negara membabitkan teknologi siber, Kementerian Pertahanan mengukuhkan keselamatan siber dengan membentuk National Cyber Security Policy (NCSP) dan Cyber Electromagnetic Activity (CEMA).

Pengukuhan diplomasi pertahanan turut dilaksanakan menerusi kerjasama dan latihan dua hala dan pelbagai hala dengan negara serantau, antaranya Eks Tiger Strike dijayakan bersama Amerika Syarikat Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA).

Bagi memastikan pelestarian dan kesejahteraan warga veteran ATM, Kementerian Pertahanan menyediakan RM50 juta bagi menyelenggara dan menaik taraf Rumah Kebajikan Angkatan Tentera (RKAT) sebanyak 2,062 unit.

Yayasan Amanah ATM turut ditubuhkan bagi memberi bantuan pendidikan, kebajikan dan kesejahteraan kepada anggota ATM dan warga awam kementerian.

Pelbagai bantuan khas turut diberikan iaitu sebanyak RM500,500 kepada Persatuan Veteran ATM membabitkan 138 persatuan, bantuan one-off RM34.4 juta kepada 68,804 penerima Pingat Jasa Malaysia dan inisiatif Bantuan Harapan Negara, iaitu bayaran one-off RM250 kepada veteran ATM berpencen dan tidak berpencen kategori B40.

Kempen Tabung Pahlawan 2019 pula merekodkan kutipan menghampiri RM10 juta, melebihi sasaran awal yang diletakkan iaitu RM6 juta.

Kementerian Pertahanan turut mewujudkan kerjasama strategik antara Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), swasta dan industri, dengan 584 veteran berjaya memperoleh pekerjaan di sektor swasta, manakala 28 syarikat dan majikan menyertai platform [email protected].

Berita Harian X