Selasa, 17 Disember 2019 | 11:42pm
KEADAAN kenderaan pikup Toyota Hilux yang remuk setelah bertembung dengan sebuah Perodua Myvi yang menyebabkan seorang peniaga wanita maut dan dua cedera dalam kemalangan di Kilometer 52, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat Paloh petang tadi. NSTP/Ihsan PDRM KELANTAN
KEADAAN kenderaan pikup Toyota Hilux yang remuk setelah bertembung dengan sebuah Perodua Myvi yang menyebabkan seorang peniaga wanita maut dan dua cedera dalam kemalangan di Kilometer 52, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat Paloh petang tadi. NSTP/Ihsan PDRM KELANTAN

Peniaga maut, suami cedera kereta bertembung

GUA MUSANG: Seorang peniaga wanita maut dan dua cedera apabila dua kenderaan bertembung di Kilometer 52 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat Paloh, hari ini.

Kejadian jam 3.30 petang menyebabkan mangsa, Zalina Ariffin, 53, yang berasal dari Jalan Masjid Kota, Kota Bharu, maut di lokasi kejadian.

Dua mangsa yang cedera iaitu suami Zalina, Ahmad Akmannizam Mohammad, 48, pemandu kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux dan Wong Kong Hey, 52, pemandu Perodua Myvi.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, mangsa menaiki Toyota Hilux dalam perjalanan dari Gua Musang ke Kuala Krai.

Katanya, sebaik sampai di kawasan selekoh, kenderaan dipandu suami mangsa hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan.

“Akibatnya, kenderaan berkenaan bertembung dengan Perodua Myvi dipandu Kong Hey dari arah bertentangan.

“Mangsa yang berada di bahagian penumpang hadapan cedera parah di kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Mohd Taufik berkata, suami mangsa mengalami sakit dada menerima rawatan di Hospital Gua Musang (HGM), manakala Kong Hey yang patah kaki kanan dirawat di Hospital Kuala Krai.

Mayat mangsa dihantar ke HGM untuk bedah siasat sebelum di serahkan kepada keluarga untuk dikebumikan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X