Selasa, 17 Disember 2019 | 10:06pm

Lelaki ditahan disyaki rogol warga emas

TUARAN: Polis menahan seorang lelaki berusia 30 tahun di sebuah kampung di Kiulu, di sini, hari ini, kerana disyaki merogol seorang warga emas berusia 72 tahun pada minggu lalu.

Difahamkan, suspek warga tempatan ditahan dalam Ops Kesan yang dilancarkan sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran, kira-kira jam 11.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim, berkata polis menjalankan serbuan selepas menerima maklumat dan risikan di lokasi terbabit.

“Suspek memiliki rekod dua jenayah lampau mengikut Seksyen 257 Kanun Keseksaan dan satu kes mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

“Suspek kini ditahan di IPD Tuaran untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merogol,” katanya ketika dihubungi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam, minggu lalu, mangsa dikatakan berseorangan di rumahnya sebelum dikejutkan dengan kehadiran suspek.

Mangsa dikatakan cuba menyelamatkan diri dan bergelut dengan suspek, namun dirogol sebelum warga emas itu membuat laporan polis.

Berita Harian X