Selasa, 17 Disember 2019 | 3:42pm

Kes LTTE, keputusan ikat jamin 2 ADUN, CEO petang esok

AYER KEROH: Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, menetapkan keputusan membenarkan atau menolak ikat jamin bagi dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan seorang ketua pegawai eksekutif yang didakwa terbabit kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), pada petang esok.

Mereka ialah ADUN Gadek yang juga Pengerusi Jawatankuasa (EXCO) Perpaduan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, G Saminathan, 34; ADUN Seremban Jaya, P Gunasekaran, 60, serta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM), S Chandru, 38.

Ketetapan itu dibuat Hakim Elesabet Paya Wan selepas mendengar hujahan peguam, Ramkarpal Singh dan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izhanudin Alias bersama Aliff Asraf Anuar pada prosiding kes berkenaan yang berlangsung hampir empat jam bermula kira-kira jam 9.30 pagi tadi.

Elesabet menolak permohonan pihak pendakwaan supaya afidavit sokongan terhadap tiga notis usul jaminan dikemukakan pihak pembelaan untuk didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pada prosiding sama, Elesabet turut membuat keputusan memindahkan kes perbicaraan bagi ketiga-tiganya ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung empat pertuduhan kerana terbabit LTTE termasuk Saminathan yang didakwa menghadapi pertuduhan menyokong dan memiliki item berkaitan kumpulan itu.

Terdahulu, Ramkarpal mewakili ketiga-tiga tertuduh berhujah, badan kehakiman mempunyai kuasa membenarkan atau menolak permohonan ikat jamin.

ADUN Gadek yang juga Pengerusi Jawatankuasa (EXCO) Perpaduan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, G Saminathan (dua dari kanan) diiringi anggota polis keluar dari Mahkamah Sesyen Melaka. - NSTP/Rasul Azli Samad
ADUN Gadek yang juga Pengerusi Jawatankuasa (EXCO) Perpaduan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, G Saminathan (dua dari kanan) diiringi anggota polis keluar dari Mahkamah Sesyen Melaka. - NSTP/Rasul Azli Samad

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau negeri, S Chandru (dua dari kanan) diiringi anggota polis keluar dari Mahkamah Sesyen Melaka. - NSTP/Rasul Azli Samad
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau negeri, S Chandru (dua dari kanan) diiringi anggota polis keluar dari Mahkamah Sesyen Melaka. - NSTP/Rasul Azli Samad

Katanya, rekod cemerlang ketiga-tiga tertuduh sebagai ADUN dan CEO sepatutnya tidak menjadi penghalang untuk mahkamah membenarkan jaminan, malah mereka boleh diperintahkan mengguna pakai peranti pemantau elektronik (EMD), selain melapor diri ke balai polis setiap hari.

Sementara itu, Mohd Izhanuddin pada prosiding itu berkata, mana-mana kesalahan membabitkan keganasan mengikut Seksyen 13 Akta Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) perlu dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Ketiga-tiga individu itu sebelum ini ditahan mengikut SOSMA dan direman di Penjara Sungai Buloh.

Media sebelum ini melaporkan, Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Hakim Rozina Ayob, memutuskan terdapat merit dalam permohonan pembelaan mengikut Seksyen 13(2) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bagi merujuk isu Perlembagaan berhubung jaminan ke Mahkamah Tinggi, 1 November lalu.

Mahkamah itu kemudian membenarkan permohonan 12 individu untuk merujuk isu Perlembagaan berhubung jaminan ke Mahkamah Tinggi.

Selain tiga individu itu, mereka yang lain ialah pemandu teksi, V Balamurugan, 37; penghantar surat, S Teeran, 38; peniaga besi buruk, A Kalaimughilan, 28; juruteknik S Arivainthan, 27; penjaga stor, S Thanagaraj, 26; pengawal keselamatan, M Pumugan, 29; guru, Sundram Renggan @ Rengasamy, 52; ahli DAP, V Suresh Kumar, 43; dan peniaga, B Subramaniam, 57.

Mereka didakwa di Mahkamah Sesyen di beberapa negeri pada 29 dan 31 Oktober lalu atas pertuduhan berkaitan kumpulan pengganas LTTE.

Mahkamah Sesyen Seremban kemudian turut membenarkan permohonan pasukan pendakwaan membatalkan dua pertuduhan memiliki item berkaitan LTTE terhadap Gunasekaran, pada 2 November lalu.

ADUN Seremban Jaya, P Gunasekaran (kanan) diiringi anggota polis keluar dari Mahkamah Sesyen Melaka. - NSTP/Rasul Azli Samad
ADUN Seremban Jaya, P Gunasekaran (kanan) diiringi anggota polis keluar dari Mahkamah Sesyen Melaka. - NSTP/Rasul Azli Samad
Berita Harian X