Selasa, 17 Disember 2019 | 12:24pm
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Wanita ditipu RM135,520 rakan baru dikenali

BERA: Seorang wanita kerugian RM135,520 ditipu rakan baru dikenalinya di laman sosial Facebook, selepas mangsa membuat pelaburan kononnya mampu memberi pulangan berganda.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata wanita berusia 51 tahun itu melabur wang berkenaan selepas tertarik dengan tawaran dibuat rakan baru dikenalinya itu pada bulan lalu.

“Kenalannya menjanjikan pulangan sehingga RM481,000 melalui pelaburan yang kononnya dikendalikan pegawai dua bank dari Indonesia dan Bank Negara.

“Mangsa diminta berurusan dengan pegawai bank berkenaan sebelum membuat beberapa transaksi bayaran,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa membuat bayaran RM113,020 ke akaun bank atas nama dua individu yang menyamar sebagai pegawai bank dari Indonesia dan RM22,500 lagi atas nama seorang wanita kononnya pegawai Bank Negara.

“Selepas wang pelaburan dibayar seperti diminta, mangsa mula curiga apabila wang keuntungan yang dijanjikan tidak diperoleh.

“Mangsa mengesyaki dirinya ditipu lalu tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera di sini, semalam,” katanya.

Mohd Wazir berkata, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Berita Harian X