Ahad, 15 Disember 2019 | 3:44pm

Tak mengaku cabul, aib rakan sekerja

KUALA TERENGGANU: Seorang penjawat awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mencabul dan mengaibkan rakannya.

Tertuduh, Ahmad Fakkarudin Wahab, 29, membuat pengakuan itu selepas dua pertuduhan itu dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa menyentuh tangan kiri dan kanan wanita berusia 39 tahun dengan niat untuk mencabul kehormatan mangsa di sebuah pejabat kerajaan di daerah ini pada jam 4.20 petang, 25 November lalu.

Bagi kesalahan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (KK), tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut didakwa mengaibkan kehormatan mangsa di lokasi sama pada jam 10 pagi pada 25 November lalu.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 509 KK berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 29 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,500 bagi kedua-dua pertuduhan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Mohd Ridhuan Mohina Din manakala tertuduh diwakili peguam, Othman Bakar.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang kakitangan kerajaan di negeri ini ditahan polis selepas didakwa mencabul seorang rakan sekerjanya ketika wanita itu mahu menunaikan solat.

Lelaki itu ditahan di tepi jalan di hadapan stesen teksi dekat Jalan Masjid Abidin, di sini, kira-kira jam 3.40 petang pada 6 Disember lalu.

AHMAD Fakkarudin Wahab mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini atas pertuduhan mencabul dan mengaibkan rakannya. - Foto Ghazali Kori
AHMAD Fakkarudin Wahab mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini atas pertuduhan mencabul dan mengaibkan rakannya. - Foto Ghazali Kori
Berita Harian X