Ahad, 15 Disember 2019 | 2:48pm

Dipenjara 6 bulan pukul ibu

KUALA TERENGGANU: Mahkamah Majistret di sini, hari ini menjatuhi hukuman penjara enam bulan ke atas seorang lelaki kerana mencederakan ibu kandungnya, Julai lalu.

Majistret Abdul Hayyi Salim membuat keputusan itu selepas tertuduh, Raja Muhammad Faiz Raja Salim, 25, mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca bersama Seksyen 326A KK.

Dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas ibunya, Maimunah Yunus, 68, di sebuah rumah di Manir, di sini, jam 10 pagi pada 4 Julai lalu.

Bagi kesalahan mengikut Seksyen 323 KK, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh juga boleh dihukum penjara dua kali ganda tempoh yang dikenakan mengikut Seksyen 323 KK bagi kesalahan mengikut Seksyen 326A KK.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Mohd Ridhuan Mohina Din manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, mangsa menegur anak lelakinya yang keluar dari bilik air supaya menukar pakaiannya yang basah sehingga menyebabkan lantai rumah basah dan licin.

Tertuduh yang marah ditegur menarik rambut dan telinga mangsa sehingga menyebabkan warga emas itu jatuh sebelum mangsa menjerit meminta tolong.

Jeritan mangsa didengari seorang penjual santan berhampiran rumah mereka sebelum bergegas membantu mangsa dengan meminta tertuduh melepaskan tangannya daripada terus menarik rambut mangsa.

RAJA Muhammad Faiz Raja Salim dijatuhkan hukuman penjara enam bulan kerana mencederakan ibu kandungnya, Julai lalu. - Foto Ghazali Kori
RAJA Muhammad Faiz Raja Salim dijatuhkan hukuman penjara enam bulan kerana mencederakan ibu kandungnya, Julai lalu. - Foto Ghazali Kori
Berita Harian X