Ahad, 15 Disember 2019 | 12:31pm
PENUNGGANG motosikal maut selepas dipercayai merempuh belakang sebuah kenderaan berat yang belum dikenal pasti di Kilometer 349.3 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan dari Bidor menuju Sungkai, di sini hari ini. - Foto ihsan PDRM
PENUNGGANG motosikal maut selepas dipercayai merempuh belakang sebuah kenderaan berat yang belum dikenal pasti di Kilometer 349.3 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan dari Bidor menuju Sungkai, di sini hari ini. - Foto ihsan PDRM

Penunggang maut rempuh kenderaan

TAPAH: Penunggang motosikal maut selepas dipercayai merempuh belakang sebuah kenderaan berat yang belum dikenal pasti di Kilometer 349.3 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan dari Bidor menuju Sungkai, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 8.30 pagi itu, Muhammad Haziq Mohd Yusof, 21, yang beralamat di Kampung Tersusun Bt 8, Ulu Kinta, Ipoh meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Tapah Wan Azharuddin Wan Ismail, berkata kemalangan itu membabitkan motosikal ditunggang mangsa dengan sebuah kenderaan lain dipercayai kenderaan berat yang belum dikenal pasti jenis dan nombor pendaftarannya.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa dalam perjalanan menuju ke arah selatan. Apabila sampai di tempat kejadian dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan berat yang nombor pendaftaran dan jenis tidak pasti.

“Ia berdasarkan kerosakan teruk di bahagian hadapan motosikal mangsa dan kemalangan itu mengakibatkan penunggang mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, jenazah mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tapah untuk dibedah siasat sebelum dituntut waris dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X