Sabtu, 14 Disember 2019 | 4:52pm

Anggota penguat kuasa JPJ ditahan disyaki samun OKU, positif dadah

KUALA LUMPUR: Seorang anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ditahan di sini, semalam, kerana disyaki menyamun orang kurang upaya (OKU), selain didapati positif dadah jenis syabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.20 petang, suspek yang memandu Perodua Myvi dikejar sekumpulan penunggang motosikal selepas OKU terbabit ditolak keluar dari kereta itu dan menjerit meminta pertolongan orang awam.

Menurut sumber, terdahulu suspek berusia 25 tahun yang dipercayai menginap di sebuah hotel bajet di Bukit Bintang pada awal pagi semalam, menemui OKU itu di hadapan hotel terbabit kira-kira jam 4 petang.

OKU berkenaan dikatakan meminta bantuan suspek untuk menghantarnya ke sebuah bank di Jalan Pudu bagi urusan pengeluaran wang, sebelum mereka berdua menaiki kereta milik anggota JPJ itu.

“Ketika dalam perjalanan, dikatakan berlaku pertengkaran antara mereka berdua sebelum OKU itu ditolak keluar dari kereta suspek dan menjerit meminta pertolongan mendakwa dirinya disamun.

“Sekumpulan penunggang motosikal dan orang awam di kawasan berhampiran kemudian mengejar kereta suspek yang cuba melarikan diri di Jalan Pudu menghala ke Cheras,” katanya.

Berdasarkan beberapa rakaman video yang tular dalam media sosial, semalam, suspek dilihat memandu secara agresif dan cuba melarikan diri di tengah-tengah kesesakan trafik dari arah Pudu Raya melalui Jalan Pudu menghala ke Cheras, malah bertindak melanggar beberapa kenderaan lain.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah, ketika dihubungi mengesahkan suspek berjaya diberkas dengan bantuan orang ramai di Jalan Brunei Utara off Jalan Pudu, kira-kira jam 5.20 petang.

“Tangkapan semula dilakukan ke atas suspek oleh anggota kereta peronda yang dimaklumkan mengenai kejadian itu sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk tindakan lanjut.

“Hasil ujian air kencing mendapati suspek didapati positif dadah jenis syabu dan direman bermula hari ini,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Beliau berkata, tiada pemandu lain dilaporkan cedera dalam insiden perlanggaran membabitkan suspek, namun mereka sudah membuat laporan melalui Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) untuk tindakan susulan.

“Setakat ini, OKU terbabit masih belum membuat laporan polis. Sehubungan itu, pihak polis meminta orang ramai yang ada maklumat lanjut supaya tampil membantu siasatan,” katanya.

VIDEO yang tular di media sosial.
VIDEO yang tular di media sosial.
Berita Harian X