Selasa, 3 Disember 2019 | 8:41pm
Nuriza Mat Yusoff menghidap penyakit buah pinggang dan saraf manakala suaminya Zulkifli Ya lumpuh dari paras pinggang kebawah akibat angin ahmar berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di SK Gual Tinggi. - NSTP/Fathil Asri
Nuriza Mat Yusoff menghidap penyakit buah pinggang dan saraf manakala suaminya Zulkifli Ya lumpuh dari paras pinggang kebawah akibat angin ahmar berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di SK Gual Tinggi. - NSTP/Fathil Asri

Rumah ditenggelami bah paras pinggang: Lelaki selamatkan ibu bapa lumpuh

RANTAU PANJANG: Seorang lelaki bertindak pantas menyelamatkan kedua-dua ibu bapanya yang lumpuh apabila kediaman mereka di Kampung Jalan Bunga Raya, di sini, dinaiki air hingga paras pinggang, Sabtu lalu.

Pasangan terbabit, Nuriza Mat Yusoff, 45, menghidap penyakit buah pinggang dan saraf, manakala suaminya, Zulkifli Ya, 52, lumpuh akibat serangan angin ahmar kira-kira dua tahun lalu.

Menceritakan kejadian itu, Nuriza berkata, paras air semakin naik pada awal pagi menyebabkan anak bongsu mereka, Mohd Zikmi, 20, terus mengangkatnya dan suami untuk dibawa ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi.

“Ketika itu, air naik mendadak pada jam 5 pagi menyebabkan kami bergegas untuk berpindah memandangkan saya dan suami lumpuh, selain bimbang kejadian tidak diingini akan berlaku.

“Alhamdulillah, kami selamat walaupun rumah ditenggelami banjir,” katanya yang lumpuh akibat penyakit saraf sejak tujuh tahun lalu, ketika ditemui di PPS itu, hari ini.

Nuriza menjelaskan, setiap kali banjir melanda, beliau dan suami akan berpindah berikutan rumah mereka terletak di kawasan rendah.

“Kami sering mengambil langkah awal untuk berpindah kerana bimbang terkepung akibat banjir.

“Walaupun lumpuh dan terpaksa berpindah ke PPS, keadaan ini sudah biasa bagi kami. Tambahan pula, ramai orang membantu kami di sini,” katanya.

Nuriza dan suaminya ialah antara 809 mangsa daripada 463 keluarga yang ditempatkan di PPS berkenaan sejak Sabtu lalu.

Berita Harian X