Isnin, 2 Disember 2019 | 3:57pm
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan (dua dari kanan) pada sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya, Balik Pulau. - NSTP/Danial Saad
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan (dua dari kanan) pada sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya, Balik Pulau. - NSTP/Danial Saad

Seludup dadah sebab nak bayar hutang

BALIK PULAU: Seludup dadah untuk bayar hutang, itu alasan seorang lelaki warga China yang cuba menyeludup dadah ketika ditahan di Terminal Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas, Sabtu lalu.

Dalam kejadian jam 10.10 pagi itu, lelaki berusia 44 tahun terbabit yang mahu menaiki penerbangan ke Hong Kong, dilihat dalam keadaan mencurigakan ketika pemeriksaan dilakukan terhadapnya di bahagian mesin pengimbas.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan, berkata hasil pemeriksaan lanjut, polis berjaya menemui enam bungkus heroin seberat 2,313 gram yang dilekat di pinggangnya dan ditutup dengan bengkung.

“Ketika pemeriksaan, suspek dilihat agak gelabah dan hasilnya kita berjaya menemui enam ketulan mampat dadah bernilai RM215,000 yang diikat di pinggangnya.

A A Anbalagan (kanan) pada sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya, Balik Pulau. - NSTP/Danial Saad
A A Anbalagan (kanan) pada sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya, Balik Pulau. - NSTP/Danial Saad

“Polis turut merampas wang tunai termasuk mata wang Hong Kong dan China bernilai RM1,181,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Anbalagan berkata, siasatan lanjut mendapati suspek pernah masuk ke negeri ini awal November lalu dan tinggal selama tiga hari sebelum pulang dan dia datang semula pada 28 November lalu.

“Suspek yang mendakwa dia bekerja sendiri, memberitahu terpaksa menyeludup dadah terbabit kerana mahu membayar hutang yang begitu banyak ditanggungnya.

“Lelaki terbabit kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman mati mandatori,” katanya.

Menurutnya, jika diproses, dadah mampat heroin yang dirampas itu boleh menghasilkan 5.4 kilogram heroin dan dapat digunakan oleh 54,000 penagih.

Berita Harian X