Isnin, 25 November 2019 | 5:06pm

Calon SPM, bapa maut dirempuh bas

BUTTERWORTH: Perjalanan seorang bapa menghantar anaknya ke sekolah bagi menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berakhir tragedi selepas motosikal ditunggang dirempuh bas di Jalan Teluk Air Tawar, di sini, pagi tadi.

Dalam kemalangan jam 6.30 pagi itu, Syamsul Shahril Abd Rahman, 51, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala anaknya, Muhammad Adam, 17, menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) dekat sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata dua beranak yang menunggang motosikal itu dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teluk Air Tawar.

"Siasatan awal mendapati motosikal ditunggang dua beranak dari arah Bagan Ajam menghala ke Teluk Air Tawar yang berada di lorong kiri, mengubah haluan ke lorong kanan sehingga memasuki laluan bas di belakang.

“Berikutan itu, pemandu bas berusia 48 tahun tidak sempat mengawal kenderaannya lalu melanggar motosikal mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Noorzainy berkata, mayat dua beranak itu dibawa ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

LOKASI kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan bas di Jalan Teluk Air Tawar, Butterworth, pagi tadi. - Foto ihsan PDRM
LOKASI kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan bas di Jalan Teluk Air Tawar, Butterworth, pagi tadi. - Foto ihsan PDRM
KEADAAN motosikal yang dirempuh bas di Jalan Teluk Air Tawar, Butterworth, pagi tadi. - Foto ihsan PDRM
KEADAAN motosikal yang dirempuh bas di Jalan Teluk Air Tawar, Butterworth, pagi tadi. - Foto ihsan PDRM
Berita Harian X