Sabtu, 23 November 2019 | 4:55pm
Dua lelaki dikesan mencuri tiga beg jemaah wanita yang sedang menunaikan solat Subuh di Surau As Soleheen, Kampung Mak Chili, Chukai. - Foto ihsan Pembaca
Dua lelaki dikesan mencuri tiga beg jemaah wanita yang sedang menunaikan solat Subuh di Surau As Soleheen, Kampung Mak Chili, Chukai. - Foto ihsan Pembaca

Sudah kena tangkap

CHUKAI: Polis hari ini menahan dua remaja yang disyaki mencuri tiga beg jemaah wanita yang sedang menunaikan solat Subuh di Surau As Soleheen, Kampung Mak Chili, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan, berkata suspek berusia 15 dan 18 tahun itu ditahan hasil dua serbuan dilakukan sepasukan anggota Balai Polis Chukai di sekitar daerah berkenaan awal pagi tadi.

“Dua suspek diberkas tidak sampai 24 jam selepas melakukan jenayah berkenaan dan hasil saringan ujian air kencing mendapati mereka positif methamphetamine.

“Hasil soal siasat mendapati mereka turut terbabit dengan beberapa kes pecah rumah di sekitar kawasan Binjai dan Kampung Mak Chili, di sini.

“Dua suspek berkenaan dibawa ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman untuk siasatan lanjut dengan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sejak semalam, video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan dua remaja lelaki mencuri beg tangan ketika jemaah wanita sedang solat tular di media sosial.

Berita Harian X