Rabu, 20 November 2019 | 1:38pm
Mohd Riduan (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini, atas dua tuduhan menghalang tugas anggota polis dan memiliki harta curi Oktober lalu. - NSTP/Jamah Nasri
Mohd Riduan (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini, atas dua tuduhan menghalang tugas anggota polis dan memiliki harta curi Oktober lalu. - NSTP/Jamah Nasri

Lelaki beristeri dua hadapi dua tuduhan

MELAKA: Lelaki beristeri dua dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, hari ini, atas dua tuduhan menghalang tugas anggota polis dan memiliki harta curi Oktober lalu.

Tertuduh, Mohd Riduan Zamri, 29, mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan selepas dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Teoh Shu Yee.

Dia didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu kira-kira jam 4 petang di tepi jalan Lebuh Ayer Keroh di sini 15 Oktober lalu.

Dalam pertuduhan pertama, Mohd Ridzuan didakwa dengan sengaja menghalang Inspektor Edriss Naqiyuddin Md Khir daripada menjalankan tugas yang menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh pada masa dan lokasi sama didakwa memiliki sebuah motosikal jenis Yamaha 125Z bernombor pendaftaran palsu dan mempunyai sebab untuk percaya ia adalah harta curi.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, tertuduh merayu mahkamah mengenakan jaminan rendah atas alasan dia mempunyai dua isteri dan anak kecil berusia tiga bulan termasuk isteri kedua yang baru tujuh bulan dikahwini.

Puteri Nor Nadia bagaimanapun memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada tertuduh.

Mahkamah membenarkan jaminan RM3,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Januari tahun depan untuk kes itu disebut semula.

Berita Harian X