Rabu, 20 November 2019 | 9:57am
Seorang warga Syria ditikam di perut selepas bergaduh dengan pekerja rumah tumpangan yang disewanya di Lorong Pragin, Georgetown, awal pagi tadi. - Foto hiasan
Seorang warga Syria ditikam di perut selepas bergaduh dengan pekerja rumah tumpangan yang disewanya di Lorong Pragin, Georgetown, awal pagi tadi. - Foto hiasan

Ditikam gara-gara terlanggar ketika nak ke tandas

GEORGETOWN: Seorang warga Syria ditikam di perut selepas bergaduh dengan pekerja rumah tumpangan yang disewanya di Lorong Pragin, di sini, awal pagi tadi.

Difahamkan, kejadian kira-kira jam 1.25 pagi itu berpunca selepas mangsa berusia 26 tahun terlanggar dengan suspek ketika dia hendak ke tandas yang terletak di aras bawah premis itu lalu berlaku pergaduhan antara mereka.

Pergaduhan itu berlarutan sebelum suspek kemudiannya mengambil pisau dan menikam mangsa di perut.

Mangsa turut ditahan kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata, saksi yang melihat pergaduhan itu menghubungi polis bagi mendapatkan bantuan dan suspek ditahan di lokasi bersama pisau pemotong sayur yang digunakannya dalam kejadian itu.

“Suspek dan mangsa dikatakan selalu bertengkar sebelum ini kerana mangsa sering balik lewat dan mengganggu suspek yang hendak berehat pada awal pagi.

“Perselisihan itu memuncak hinggalah berlaku pergaduhan apabila mangsa terlanggar suspek awal pagi tadi hingga membawa kepada kejadian itu.

“Setakat ini, keterangan mereka (suspek dan mangsa) belum dapat diambil kerana kedua-duanya masih dalam keadaan mabuk,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Soffian berkata, dalam kejadian itu mangsa mengalami kecederaan di perut selain luka pada bahagian kepala dan kaki kiri dan kini dirawat di Hospital Pulau Pinang dengan keadaannya dilaporkan stabil.

Suspek turut mengalami luka di tapak tangan kanan dan mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di hospital sama.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek yang berusia 62 tahun dan berasal dari Jalan Siam, di sini mempunyai 19 rekod lampau dengan 14 membabitkan kes jenayah dan empat lagi berkaitan dadah.

“Suspek bekerja di rumah tumpangan itu sejak lapan bulan lalu, manakala mangsa menyewa di situ sejak lima bulan lalu.

“Lokasi kejadian tidak mempunyai kamera tertutup (CCTV). Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 KK dan Seksysn 6(3) Akta Imigresen 1959/63.

Berita Harian X