Selasa, 19 November 2019 | 2:04pm

Tak mengaku rogol anak kandung

MELAKA: Bapa lima anak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, hari ini atas tuduhan merogol anak kandungnya, Oktober lalu.

Tertuduh berusia 37 tahun membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan, pencuci kereta itu didakwa merogol anak perempuannya berusia 14 tahun dua bulan beralamat di Banda Hilir antara jam 4 pagi hingga 6 pagi Oktober lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan kerana merogol dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun dan sekurang-kurangnya 10 sebatan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Lyiana Zainal Abidin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Intan Lyiana mencadangkan mahkamah supaya tidak menawarkan jaminan berikutan mangsa adalah anak tertuduh.

Norma kemudian memutuskan tertuduh tidak dibenarkan untuk dijamin dan menetapkan kes disebut semula 18 Disember ini.

Berita Harian X