Ahad, 17 November 2019 | 7:34pm
Anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran sebuah kenderaan selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 15.5 Jalan Tuaran Bypass, Kota Kinabalu. - Ihsan Bomba
Anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran sebuah kenderaan selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 15.5 Jalan Tuaran Bypass, Kota Kinabalu. - Ihsan Bomba

Berpantang maut sebelum ajal

KOTA KINABALU: Seorang jurujual nyaris maut selepas kereta dipandunya terbabas sebelum terbakar dalam kemalangan di Kilometer 15.5 Jalan Tuaran Bypass, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, lelaki berusia 24 tahun yang memandu seorang diri itu dikatakan gagal mengawal kenderaannya sebelum terbabas ke kiri jalan.

Akibat daripada kejadian itu, kereta Perodua Myvi miliknya terbalik di tepi jalan sebelum terbakar, namun tindakan pantas merangkak keluar berjaya menyelamatkan nyawanya.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata hasil siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari Penampang menuju ke Jalan UA1.

Katanya, kenderaan mangsa dipercayai terbakar disyaki berpunca dari pintasan api dari kabel sambungan bateri kereta.

“Siasatan mendapati kejadian berpunca dari kecuaian pemandu sendiri yang gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan berlaku,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.50 pagi.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan berkenaan masih terbakar dan operasi pemadaman segera dilakukan bagi mengawal api kebakaran sebelum operasi ditamatkan pada jam 7.18 pagi.

Berita Harian X