Sabtu, 16 November 2019 | 4:35pm
OMAR menyampaikan cenderahati kepada wakil penduduk dalam program Komuniti Kepolisian di Kampung Kesuapan, Pulau Gaya. - Foto Norasikin Daineh
OMAR menyampaikan cenderahati kepada wakil penduduk dalam program Komuniti Kepolisian di Kampung Kesuapan, Pulau Gaya. - Foto Norasikin Daineh

Seorang daripada enam mangsa ada empat kesan tembakan

KOTA KINABALU: Terdapat tiga hingga empat kesan tembakan dikenal pasti hasil bedah siasat enam sekeluarga yang ditembak mati di perairan Selatan Filipina 6 November lalu.

Kubur enam mangsa yang ditembak mati dalam kejadian itu digali semula untuk tujuan bedah siasat pada 11 November lalu selepas polis mendapat kebenaran mahkamah di Semporna untuk mengeluarkan jasad enam mangsa berkenaan yang dikebumikan di Pulau Denawan.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah, berkata bedah siasat mendapati memang ada kesan tembakan di anggota badan semua mangsa, malah seorang daripada mereka ada sampai empat kesan tembakan.

“Selepas bedah siasat oleh doktor yang didatangkan khas dari Kota Kinabalu, enam mangsa berkenaan dikuburkan semula di pulau itu,” katanya.

Beliau mengulas perkembangan terkini kes tembakan membabitkan enam sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak berusia lapan tahun dari Pulau Denawan, Semporna, yang dalam perjalanan menyambut Maulidur Rasul bersama keluarga di Siasi, selatan Filipina.

Mengulas lanjut, Omar berkata, motif kejadian adalah dendam lama antara dua keluarga iaitu keluarga suspek dan mangsa.

Difahamkan sebelum kejadian, keluarga mangsa dikatakan terbabit membunuh anak suspek yang sebelum itu membunuh seorang keluarga mangsa.

“Jadi dendam antara keluarga berkenaan berterusan dengan berbalas-balas dendam,” katanya ditemui pada Program Komuniti Kepolisian di Kampung Kesuapan, Pulau Gaya, hari ini.

Terdahulu, Omar berkata, terdapat kesilapan maklumat sebelum ini menyatakan dua mangsa terselamat tetapi sebenarnya ada enam yang terselamat dalam kejadian itu iaitu empat budak kecil yang berada di bot lain manakala dua lagi, seorang wanita dewasa dan seorang kanak-kanak di sebuah bot yang ditembak.

“Kanak-kanak terbabit berusia belasan tahun dan ada juga di bawah 10 tahun. Semua mereka ada di Pulau Denawan, Semporna,” katanya.

Polis sudah mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab melakukan perbuatan itu dan maklumat itu sudah dimaklumkan kepada rakan setugas di Filipina.

Berita Harian X