Sabtu, 16 November 2019 | 10:36am
Mangsa maut dalam kemalangan di Jalan Lintas, Kota Kinabalu. - Foto ihsan Bomba
Mangsa maut dalam kemalangan di Jalan Lintas, Kota Kinabalu. - Foto ihsan Bomba
Keadaan kenderaan mangsa selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Lintas, Kota Kinabalu. - Foto ihsan Bomba
Keadaan kenderaan mangsa selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Lintas, Kota Kinabalu. - Foto ihsan Bomba

Satu maut, empat parah kereta terbabas

KOTA KINABALU: Seorang penuntut Institut Kemahiran MARA (IKM) Kota Kinabalu maut, manakala empat rakannya parah selepas Proton Saga yang dinaiki terbabas di Jalan Lintas, dekat sini, awal pagi tadi.

Dalam nahas kira-kira jam 5 pagi, pemandu kereta itu, Amirul Izzat Rahman, 21, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Empat penumpang kenderaan itu, Faizam Fasal, Zulhafiz Pasaran dan Mohamad Zulhilmi Abdullah yang masing-masing berusia 19 tahun, serta Hafiz Saruji, 23, mengalami kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata siasatan mendapati kemalangan membabitkan sebuah kenderaan dalam perjalanan dari arah Metro Town menuju ke Jalan Tuaran.

“Setiba di lokasi, kenderaan mangsa dipercayai hilang kawalan akibat terlanggar pembahagi jalan di sebelah kanan sebelum merempuh tiang lampu dan terbabas sejauh 10 meter.

“Akibat kejadian itu, pemandu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala empat penumpangnya mengalami pelbagai kecederaan, termasuk seorang daripada mereka mengalami pendarahan di kepala,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, hasil siasatan awal juga mendapati punca kemalangan dipercayai kecuaian pemandu yang memandu dalam keadaan laju.

“Namun, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Terdahulu, jurucakap Pasukan Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.17 pagi.

Susulan itu, katanya, seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dikerahkan ke lokasi bersama sebuah jentera dan satu unit bantuan Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS).

“Menurut komander operasi, kemalangan membabitkan sebuah Proton Saga dipercayai terbabas sendiri ke bahu jalan dengan lima mangsa lelaki berada di dalam kenderaan itu.

“Seorang mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan dan didapati mengalami kecederaan parah. Tiga mangsa lain yang turut parah dikeluarkan orang awam dan diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS.

“Seorang lagi mangsa lelaki dilaporkan tercampak keluar dari kenderaan dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya dalam kenyataan media.

Semua mangsa kemudian dihantar ke hospital untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada jam 6.45 pagi.

Berita Harian X