Rabu, 13 November 2019 | 10:50am
Lelaki maut selepas motosikal ditunggangi merempuh seekor kerbau di Kilometer 53, Jalan Tuaran-Kota Belud, di Kampung Pangkalan Tenghilan, pagi tadi. - Ihsan PDRM
Lelaki maut selepas motosikal ditunggangi merempuh seekor kerbau di Kilometer 53, Jalan Tuaran-Kota Belud, di Kampung Pangkalan Tenghilan, pagi tadi. - Ihsan PDRM

Ajal langgar kerbau

TUARAN: Lelaki maut selepas motosikal ditunggangi merempuh seekor kerbau di Kilometer 53, Jalan Tuaran-Kota Belud, di Kampung Pangkalan Tenghilan, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, mangsa, Jamius Fascon, 43, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di bahagian kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim, berkata siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari arah Kota Belud menuju ke Tuaran.

“Sejurus tiba di lokasi, seekor kerbau secara tiba-tiba masuk ke laluan jalan raya dari bahu kiri jalan menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak.

“Akibat kejadian itu, mangsa merempuh haiwan terbabit dan maut serta-merta di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuaran untuk tindakan lanjut dan usaha mengesan ahli keluarga mangsa sedang dilakukan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Berita Harian X