Isnin, 11 November 2019 | 2:29pm
SALAH seorang mangsa melecur akibat kebakaran kereta di kediaman mereka di Kampung Bunan Gega, Serian. NSTP/Ihsan Jabatan Bomba Dan Penyelamat
SALAH seorang mangsa melecur akibat kebakaran kereta di kediaman mereka di Kampung Bunan Gega, Serian. NSTP/Ihsan Jabatan Bomba Dan Penyelamat

Dua sekeluarga melecur, tumpahan petrol disambar lilin

SERIAN: Dua sekeluarga menempuh detik mendebarkan selepas kenderaan mereka terbakar dalam kejadian di Kampung Bunan Gega, di sini kelmarin.

Dalam kejadian 7.15 malam itu, seorang bapa berusia 60-an dan anak perempuannya berusia 29 tahun yang melecur pada badan mereka dikejarkan oleh orang awam ke klinik berhampiran bagi mendapatkan rawatan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan mangsa lelaki melecur 20 peratus pada bahagian dada, perut dan lengan, manakala anak perempuannya melecur 30 peratus pada paha.

“Difahamkan, kejadian berlaku akibat tumpahan petrol yang disambar api lilin ketika kampung itu terputus bekalan elektrik. Kebakaran memusnahkan tempat parkir dan kereta, dengan kedua-dua mangsa turut melecur,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan memaklumkan kejadian itu pada jam 7.23 malam dan bertindak atas maklumat berkenaan, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, pihak kami mendapati kebakaran membabitkan tempat letak kereta dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) terbakar 30 peratus di bahagian belakang.

“Kebakaran berjaya dikawal dan dipadam sepenuhnya oleh pasukan Bomba Sukarela Kampung Bunan Gega sebelum anggpta bomba tiba,” katanya.

Katanya, anggota bomba kemudian menjalankan pemeriksaan rapi bagi memastikan keadaan selamat sebelum operasi ditamatkan pada jam 8.40 malam.

Berita Harian X