Khamis, 7 November 2019 | 3:48pm
SEORANG lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu atas pertuduhan menumbuk ibunya. NSTP/Imran Makhzan.
SEORANG lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu atas pertuduhan menumbuk ibunya. NSTP/Imran Makhzan.

Lelaki tumbuk ibu mandi bogel didakwa

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki yang menumbuk badan ibunya kerana marah warga emas itu mandi bogel didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh, Mohd Daud Yusof, 42, dari Kampung Menerong, Ajil, Hulu Terengganu, yang tidak bekerja didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Mohd Daud didakwa menumbuk belakang badan ibunya, Ramlah Ab Rahman, 68, dan menggenggam tangan kiri warga emas itu sehingga kesakitan selepas memarahi ibunya kerana mandi bogel.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Kampung Menerong, Ajil, jam 10 malam pada 1 November lalu.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara selama setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Mohd Ridhuan Mohina Din, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Abdul Hayyi kemudian menetapkan 4 Disember depan untuk sebutan semula kes di Mahkamah Majistret Kuala Berang dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

Berita Harian X