Selasa, 5 November 2019 | 5:59pm

Dipenjara lima tahun kerana miliki senjata

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, kerana memiliki parang dan pedang di dalam kenderaan.

Hakim Wan Azimah Yaacob menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Badrul Hisyam Zakari, 23, selepas dia didapati bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1958.

Wan Azimah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula daripada tarikh dia disabitkan kesalahan.

Mengikut kertas pertuduhan, Badrul Hisyam dari Kampung Bukit Tumbuh di sini, didakwa memiliki masing-masing sebilah parang dan pedang serta sebatang sarung.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di tempat letak kereta di TH Hotel di Jalan Lapangan Terbang, di sini, pada jam 7.50 malam, 7 November tahun lalu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud, manakala tertuduh diwakili peguam Holy Isaac dari Isaacs & Isaacs.

Mengikut fakta kes, polis memburu tertuduh berhubung satu kes lain, namun ketika ditahan, pemeriksaan terhadapnya menemui sebilah parang dan pedang berserta sarungnya.

Badrul Hisyam turut berdepan satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang masih dalam proses perbicaraan.

BADRUL Hisyam Zakari dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini, kerana memiliki parang dan pedang di dalam kenderaan. - Foto Imran Makhzan
BADRUL Hisyam Zakari dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini, kerana memiliki parang dan pedang di dalam kenderaan. - Foto Imran Makhzan
Berita Harian X