Isnin, 4 November 2019 | 7:13am

Rahsia penagihan dadah terbongkar di hadapan keluarga

MIRI: Rahsia penagihan dadah sepasang suami isteri terbongkar di hadapan keluarga sendiri dalam operasi dijalankan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Bekenu, di sini semalam.

Ketua AADK Miri, Mazlan Jikran, berkata pasangan itu antara 26 individu yang ditahan selepas hasil ujian air kencing mereka didapati positif syabu dalam operasi bersepadu selama dua hari bermula kelmarin.

Katanya, operasi itu memberi penumpuan kepada 13 kawasan penempatan, termasuk kampung di Bekenu dan kawasan sekitarnya yang dikenal pasti menjadi sarang penagihan dadah.

“Pasangan suami isteri itu, masing-masing berusia 35 dan 31 tahun, terkejut dengan kehadiran pegawai dan anggota AADK, dengan aktiviti penagihan dadah mereka terbongkar di hadapan keluarga sendiri” katanya dalam satu kenyataan, di sini malam tadi.

Mazlan ketika mengulas lanjut, berkata dalam operasi yang sama, sepasang suami isteri muda berusia 18 dan 20 tahun turut ditahan.

Katanya, operasi dijalankan bersama Jabatan Sukarelawan Rakyat (RELA) dan Jawatankuasa Keselamatan Penduduk (JKP).

“Kesemua yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Penagih Dadah Rawatan dan Pemulihan 1983,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X