Jumaat, 1 November 2019 | 3:42pm
Chia Boon Teik, (kiri) bersama anaknya, Chia Jian Bin menunjukkan kesan luka pada paha selepas digigit anjing, di Kampung Dato' Syed Nahar, Langkawi. - Foto Hamzah Osman
Chia Boon Teik, (kiri) bersama anaknya, Chia Jian Bin menunjukkan kesan luka pada paha selepas digigit anjing, di Kampung Dato' Syed Nahar, Langkawi. - Foto Hamzah Osman

Murid Tahun Enam cedera digigit anjing

LANGKAWI: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun cedera akibat digigit seekor anjing di Kampung Dato’ Syed Nahar, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, Chia Jian Bin cedera di kedua-dua paha selepas digigit ketika mengayuh basikal bersama rakannya menuju ke padang bola berhampiran.

Katanya, anjing terbabit menerkam dan menggigit kedua-dua pahanya selepas terjatuh daripada basikal.

“Sebelum terjatuh, rakan yang sedang menunggang basikal terkejut dengan kehadiran anjing itu menyebabkan dia melanggar bahagian depan tayar basikal saya.

“Saya hanya mendiamkan diri kerana bimbang haiwan itu bertindak lebih ganas dan akan menyebabkan kecederaan lebih teruk.

“Selepas beberapa minit, kebetulan ada orang kampung yang melalui kawasan itu sebelum menghalau anjing terbabit dan mereka membawa saya ke Klinik Kesihatan Kuah untuk mendapatkan rawatan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Buluh Penyumpit di sini, hari ini.

Terdahulu, kejadian malang yang menimpa murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Kelibang itu sempat dirakam seorang saksi sebelum memuat naik video berdurasi 23 saat ke laman sosial Facebook, selain tular dalam aplikasi WhatsApp sejak petang kelmarin.

Bapa Jian Bin, Chia Boon Teik, 40, berkata sekurang-kurangnya tiga kesan gigitan anjing yang agak dalam pada paha anaknya dan masih memerlukan rawatan di klinik.

“Bagaimanapun, anak saya bernasib baik kerana ketika kejadian, dia memakai seluar panjang. Kalau seluar pendek mungkin kecederaan dialaminya lebih teruk.

“Anjing itu dipelihara penduduk dan ketika kejadian dipercayai haiwan itu terlepas daripada jagaan tuannya selepas tali yang mengikat lehernya terputus,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, berkata pihaknya tidak menerima laporan berkaitan kejadian itu.

“Namun, penduduk perlu lebih bertanggungjawab terhadap haiwan peliharaan agar perkara sama tidak berulang,” katanya.

Berita Harian X