Khamis, 31 Oktober 2019 | 12:09pm

Seorang maut, lima cedera dilanggar SUV hilang kawalan

SUBANG JAYA: Seorang wanita maut, lima lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dan dua motosikal di lampu isyarat Persiaran Kewajipan, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pada jam 10 malam itu, wanita warga Myanmar berusia 36 tahun itu maut selepas motosikal jenis Honda Wave dibonceng bersama suami dan anaknya dilanggar oleh sebuah SUV jenis Range Rover dari belakang.

Suaminya, warga tempatan berusia 45 tahun dan anak perempuannya berusia 3 tahun pula parah di bahagian kepala.

SUV dipandu oleh seorang pelajar lelaki berusia 20 tahun itu turut melanggar sebuah lagi motosikal jenis Honda Future ditunggang seorang lelaki dan seorang wanita masing-masing berusia 46 dan 45 tahun dan seorang pejalan kaki lelaki warga China berusia 24 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at, berkata kejadian berlaku dipercayai akibat pemandu SUV yang hilang kawalan.

“Kemalangan berlaku di Persiaran Kewajipan semasa Range Rover berkenaan yang datang dari arah USJ 9 (Taipan) ke arah Subang Kelana.

“Apabila sampai di lampu isyarat, SUV terbabit hilang kawalan dipercayai mengelak orang melintas jalan dan kemudian melanggar seorang pejalan kaki dan dua motosikal yang sedang berhenti di lampu isyarat merah di Persiaran Murni.

“Pembonceng salah sebuah motosikal terbabit maut di lokasi kejadian, manakala lima yang lain cedera,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Azman berkata, mayat mangsa dan mereka yang cedera dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), manakala pemandu Range Rover tidak mengalami sebarang kecederaan.

Polis masih lagi menjalankan siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X