Selasa, 29 Oktober 2019 | 8:52pm

Maut diserang, dipijak gajah

MERSING: Seorang pekerja ladang warga asing maut selepas dipercayai diserang dan dipijak gajah di Lenggor, Jemaluang, di sini malam semalam.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing, berkata pihaknya menerima panggilan jam 9.30 malam daripada orang ramai yang menemui mangsa di bahu jalan.

Katanya, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Mersing oleh orang ramai sebelum disahkan meninggal dunia ketika tiba di hospital.

“Mangsa dipercayai pekerja sebuah ladang berhampiran dan berusia antara 35 hingga 45 tahun. Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti identiti mangsa dan punca sebenar kematiannya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Cyril berkata, ketika kejadian, mangsa berpakaian kemeja-t berkolar warna hijau muda dan mayat kini masih berada di Hospital Mersing.

Berita Harian X