Jumaat, 25 Oktober 2019 | 5:16pm
Tayar treler tercabut yang mengakibatkan penunggang motosikal dan pemboncengnya parah di Kilometer 38, Jalan Ipoh-Lumut. - Foto ihsan Pembaca
Tayar treler tercabut yang mengakibatkan penunggang motosikal dan pemboncengnya parah di Kilometer 38, Jalan Ipoh-Lumut. - Foto ihsan Pembaca

Dua wanita cedera dirempuh tayar treler tercabut

SERI ISKANDAR: Dua wanita parah selepas motosikal mereka tunggang dirempuh tayar treler yang tercabut di Kilometer 38, Jalan Ipoh-Lumut, hari ini.

Dalam kejadian 10.10 pagi itu, mangsa yang berusia 19 dan 22 tahun itu masing-masing parah di kaki dan tangan.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, siasatan awal mendapati treler dipandu lelaki berusia 46 tahun itu dari Ipoh menghala ke Lumut, manakala motosikal pula dari haluan bertentangan.

Katanya, kemalangan berlaku apabila dua tayar treler berkenaan tercabut dan kemudian melantun ke arah motosikal ditunggang dua wanita terbabit.

Penunggang motosikal dan pemboncengnya parah selepas dirempuh tayar treler yang tercabut di Kilometer 38, Jalan Ipoh-Lumut. - Foto ihsan Pembaca
Penunggang motosikal dan pemboncengnya parah selepas dirempuh tayar treler yang tercabut di Kilometer 38, Jalan Ipoh-Lumut. - Foto ihsan Pembaca

“Kejadian itu menyebabkan penunggang motosikal berusia 19 tahun patah kedua-dua kaki dan mengalami pendarahan dalaman.

“Wanita berusia 22 tahun yang juga pembonceng motosikal pula patah peha, kaki dan tangan kanan,” katanya ketika dihubungi.

Kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Changkat Melintang untuk mendapatkan rawatan lanjut dan motosikal mereka remuk di bahagian hadapan.

Pemandu lori berkenaan tidak cedera dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk tindakan lanjut.

Berita Harian X