Rabu, 23 Oktober 2019 | 10:46pm

Dua beradik lemas selamat dikebumikan

BAGAN SERAI: Jenazah dua beradik, Nor Aliya Natasha Abdullah, 11, dan Nor Aliya Batrisha Mohamad Ali, 8, yang lemas di Kampung Parit Simpang 4, Alor Pongsu, di sini, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Masjid Alor Pongsu pada jam 8.20 malam tadi.

Terdahulu jenazah disembahyangkan kira-kira 200 jemaah pada jam 7.40 malam tadi selepas solat Maghrib di masjid itu.

Suasana sedih menyelubungi kawasan tanah perkuburan di sini sejurus menyaksikan jenazah dua beradik itu dikebumikan dalam satu liang lahad.

Kira-kira 100 penduduk kampung termasuk sanak saudara berada di kawasan tanah perkuburan berkenaan bagi menyaksikan majlis pengebumian dan memberi penghormatan terakhir kepada mangsa.

Jenazah Nor Aliya Natasha dan Nor Aliya Batrisha dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Masjid Alor Pongsu. - NSTP/Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Jenazah Nor Aliya Natasha dan Nor Aliya Batrisha dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Masjid Alor Pongsu. - NSTP/Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Kelihatan Mohamad Ali Mohamad Rashid, 28, iaitu bapa kepada dua kanak-kanak ini, sugul saat mengebumikan jenazah anak sulung dan kedua dari empat beradik.

Terdahulu satu majlis tahlil diadakan dalam kalangan guru dan murid di Sekolah Kebangsaan Alor Pongsu, petang tadi.

Dalam masa sama satu kutipan derma dibuat pihak sekolah bagi membantu meringankan beban keluarga mangsa berikutan mereka tergolong dalam keluarga miskin tegar.

Ahli Dewan Undangan Ngeri (ADUN) Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat (kanan) bersimpati dengan nasib yang menimpa Mohamad Ali (dua dari kanan) dan isteri, Siti Solehah Azmi, 27, ketika melawat di Unit Forensik Hospital Parit Buntar. - NSTP/Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Berita Harian X