Selasa, 15 Oktober 2019 | 7:31pm

Tiga beradik jadi pemuas nafsu pekerja kebun

BELURAN: Kesengsaraan tiga beradik berusia antara tujuh hingga 12 tahun, yang dijadikan pemuas nafsu seorang tukang kebun berakhir, selepas suspek warga Indonesia itu ditahan polis, Khamis lalu.

Rahsia perbuatan terkutuk lelaki berusia 24 tahun itu terbongkar selepas mangsa yang berusia tujuh tahun mengadu kepada ibu saudaranya.

Difahamkan, suspek melakukan perbuatan itu sejak tahun lalu di kawasan ladang Kampung Berayung, Telupid, di sini.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 10.24 malam, 8 Oktober lalu.

KETUA Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda. - Foto Hazshah Abdul Rahman
KETUA Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda. - Foto Hazshah Abdul Rahman

Katanya, hasil siasatan awal mendapati suspek adalah pekerja kebun keluarga mangsa kira-kira sejak setahun lalu dan diberi tempat tinggal di rumah mangsa.

“Mangsa yang tidak tahan dengan perbuatan suspek bertindak mengadu kepada ibu saudaranya yang tinggal bersebelahan rumah mereka.

“Sebaik mendapat tahu perbuatan suspek, ibu saudara mangsa kemudian bertanyakan kepada dua beradik mangsa yang lain dan mendapati mereka juga turut menerima gangguan seksual yang sama,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Kasim berkata, hasil siasatan juga mendapati suspek mengambil kesempatan terhadap mangsa kerana mereka tinggal di rumah yang sama.

“Suspek kini sedang direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya.

Berita Harian X