Ahad, 13 Oktober 2019 | 8:49pm

Polis cari mangsa cubaan ragut di Dataran Merdeka

KUALA LUMPUR: Polis meminta seorang wanita yang hampir menjadi mangsa ragut di kawasan kaki lima berhampiran air pancut Dataran Merdeka di sini, Khamis lalu supaya tampil membuat laporan polis.

Ini susulan tular di media sosial satu rakaman video daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan wanita itu terseret beberapa meter kerana cuba menyelamatkan beg yang dibawanya.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah, berkata berdasarkan penelitian rakaman video yang tular itu, polis mendapati seorang lelaki bermotosikal cuba meragut beg tangan mangsa tetapi tidak berjaya.

“Kita tidak pasti identiti wanita yang menjadi mangsa dalam kejadian itu. Setakat ini pihak polis masih belum menerima laporan daripada mangsa atau mana-mana saksi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru, beliau meminta wanita berkenaan tampil membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan polis.

Menerusi rakaman video selama 20 saat yang tular itu, kelihatan mangsa diseret beberapa meter di atas kaki lima dalam keadaan terlentang sebelum peragut melepaskan beg dipegang mangsa.

Peragut kemudian dilihat turun daripada motosikalnya namun bergegas melarikan diri dengan motosikalnya selepas dipercayai kejadian itu disedari orang awam.

Berita Harian X