Ahad, 13 Oktober 2019 | 7:49pm
Bayi lelaki berusia setahun maut selepas motosikal ditunggang ibunya merempuh belakang sebuah lori yang diletakkan di bahu jalan di Kilometer 67, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur di Tapah, hari ini. - Ihsan PDRM
Bayi lelaki berusia setahun maut selepas motosikal ditunggang ibunya merempuh belakang sebuah lori yang diletakkan di bahu jalan di Kilometer 67, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur di Tapah, hari ini. - Ihsan PDRM

Bayi dipegang pembonceng maut kemalangan

TAPAH: Bayi lelaki berusia setahun maut selepas motosikal ditunggang ibunya merempuh belakang sebuah lori yang diletakkan di bahu jalan di Kilometer 67, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur di sini hari ini.

Dalam kejadian 3.20 petang itu, N Eshwaran meninggal dunia di tempat kejadian, manakala ibunya M Lavania, 22, dan sepupu ibunya, RK Ammukutty, 17, yang membonceng cedera susulan kemalangan itu.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail, berkata kemalangan berkenaan membabitkan dua kenderaan iaitu motosikal dinaiki tiga mangsa dan lori tangki.

“Siasatan awal mendapati motosikal berkenaan dalam perjalanan dari Tapah menuju ke Bidor dan sebaik tiba di lokasi kejadian, dipercayai hilang kawalan dan merempuh belakang lori tangki yang berhenti di bahu jalan raya menuju ke arah Kuala Lumpur.

“Akibat kemalangan itu, bayi yang dipegang pembonceng motosikal maut di tempat kejadian, manakala ibunya yang menunggang motosikal cedera di kedua-dua kaki.

“Remaja perempuan yang memegang bayi itu pula mengalami kecederaan di muka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pemandu lori berusia 51 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mangsa yang cedera dirawat Hospital Tapah dan mayat bayi berkenaan juga dihantar ke hospital sama untuk dibedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Berita Harian X