Rabu, 9 Oktober 2019 | 1:00pm

Tindakan pantas polis tahan peragut

KUALA LUMPUR: Tindakan pantas anggota polis trafik yang sedang membuat kawalan lalu lintas di persimpangan Jalan Bukit Bintang dan Jalan Sultan Ismail di sini, berjaya menahan dua lelaki terbabit dalam kes ragut.

Dalam kejadian pada jam 7.40 pagi itu, anggota dari Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur menyedari tindakan suspek yang cuba meragut seorang lelaki di kawasan berdekatan.

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, berkata pergelutan antara mangsa dan kedua-dua suspek itu menyebabkan dua lelaki berkenaan terjatuh dari motosikal mereka.

Katanya, suspek kemudian cuba melarikan diri, namun berjaya dikejar dan diberkas anggota JSPT yang bertugas di kawasan berhampiran. Tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden itu.

“Mangsa dan suspek dibawa ke Balai Polis Dang Wangi untuk tindakan lanjut,” katanya kepada BH, hari ini.

Berita Harian X