Selasa, 8 Oktober 2019 | 6:52pm

Barangan disyaki jenama tiruan bernilai RM664,000 dirampas

KUALA LUMPUR: Pakaian sukan dan jam tangan disyaki berjenama tiruan yang dianggarkan bernilai RM664,000, dirampas dalam serbuan di tiga premis kediaman di bahagian atas bangunan pusat beli-belah di Lorong Haji Taib, di sini, hari ini.

Serbuan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Selangor kira-kira jam 12 tengah hari.

Timbalan Pengarah Penguat Kuasa (Pencegahan) KPDNHEP Putrajaya, Suhaimi Mat Sari, berkata barangan berkenaan menggunakan perihal dagangan palsu jenama Adidas, Nike, Puma dan Under Armour, selain dua jenama tempatan Abstrax serta Al-Ikhsan.

“Kita merampas sebanyak 13,203 unit barang disyaki tiruan dengan jumlah keseluruhan dianggarkan bernilai lebih RM600,000.

“Selain itu, kita menahan tiga individu membabitkan dua wanita dan seorang lelaki tempatan dipercayai penjaga ketiga-tiga premis berkenaan,” katanya pada sidang media di lokasi serbuan, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah KPDNHEP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin.

Mengulas lanjut, Suhaimi berkata, sindiket terbabit dipercayai meraih keuntungan lebih 100 peratus hasil jualan barangan disyaki tiruan terbabit.

“Barangan disyaki tiruan seperti pakaian sukan ini dijual pada harga RM50 berbanding harga RM100 hingga RM200 bagi barangan tulen.

“Kita juga akan mengenal pasti pemilik ketiga-tiga premis yang disewakan ini. Jika mereka didapati terbabit dalam kegiatan ini, kita akan mengambil tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, bekalan barangan disyaki tiruan itu dipercayai diperoleh dari negara jiran untuk pasaran di sekitar Lembah Klang.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 8 (2) Akta Perihal Dagangan 2011, iaitu membekal atau menawarkan atau mendedah untuk pembekalan atau dalam milikan, jagaan atau kawalannya apa-apa barangan yang menggunakan perihal dagangan palsu merujuk kepada cap dagang berdaftar.

Dalam pada itu, Suhaimi berkata, sebanyak 103 kes mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 direkodkan KPDNHEP di ibu kota sejak Januari lalu hingga hari ini.

“Setakat ini, seramai 31 individu ditahan membabitkan lapan warga tempatan dan 23 warga asing. Daripada 103 kes direkodkan bawah Akta Perihal Dagangan 2011, sebanyak 74,990 unit barangan disita bernilai RM2,637,182.

“Kami memberi amaran keras dan peringatan kepada mana-mana individu mahupun syarikat supaya tidak melanggar undang-undang, terutama membabitkan penjualan dan pengedaran barangan tiruan bagi mengelak dikenakan hukuman berat mengikut undang-undang,” katanya.

Timbalan Pengarah Penguatkuasa (Pencegahan) KPDNHEP Putrajaya, Suhaimi Mat Sari (dua kanan) bersama Pengarah Pejabat KPDNHEP, Ariffin Samsudin (kiri kanan) melihat antara barang rampasan pada Operasi Barang Tiruan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 di Plaza GM Kuala Lumpur. - Foto Zunnur Al Shafiq
Timbalan Pengarah Penguatkuasa (Pencegahan) KPDNHEP Putrajaya, Suhaimi Mat Sari (dua kanan) bersama Pengarah Pejabat KPDNHEP, Ariffin Samsudin (kiri kanan) melihat antara barang rampasan pada Operasi Barang Tiruan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 di Plaza GM Kuala Lumpur. - Foto Zunnur Al Shafiq
Berita Harian X