Isnin, 7 Oktober 2019 | 10:16am
Seorang wanita maut dipercayai dipukul dan disamun di hadapan rumahnya di Felda Sendayan, malam tadi. - Ihsan pembaca
Seorang wanita maut dipercayai dipukul dan disamun di hadapan rumahnya di Felda Sendayan, malam tadi. - Ihsan pembaca

Wanita mati disamun di hadapan rumah

SEREMBAN: Seorang wanita yang baru pulang dari bekerja, maut dipercayai dipukul dalam kejadian samun di hadapan rumah bapa saudaranya di Felda Sendayan di sini, malam tadi.

Kejadian kira-kira jam 9.25 malam itu menyebabkan S Sri Devi Kalaivani Raniamal, 42, yang bekerja sebagai tukang cuci di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) maut di tempat kejadian akibat cedera di kepala.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim, berkata siasatan awal mendapati mangsa disyaki dipukul dan disamun.

“Barang mangsa yang disamun termasuk dua utas rantai emas dan beg sandang dengan anggaran kerugian kira-kira RM4,000.

“Susulan kejadian itu, polis menahan dua lelaki berusia 34 dan 55 tahun malam tadi untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Said berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sementara itu, sepupu mangsa, S Segar, 38, berkata sebelum kejadian, bapa dan adiknya menaiki van mengambil mangsa dari tempat kerjanya di klia2 dan apabila tiba di hadapan rumah, mangsa turun untuk membuka pintu pagar.

Katanya, bapanya kemudian memandu van memasuki perkarangan rumah namun selepas itu berasa pelik dan menjerit beberapa kali nama mangsa selepas mendapati mangsa belum menutup pagar.

“Ketika itu keadaan gelap dan mangsa kemudian ditemui dalam parit di hadapan rumah dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum dibawa naik.

“Itu adalah kejadian kedua menimpa mangsa kerana pada April lalu dia turut disamun dan dipukul sebelum ditemui di dalam parit sama dalam keadaan kepala berdarah.

“Dia tinggal dengan keluarga kami sejak tiga tahun lalu selepas kematian suami,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini.

Segar berkata, mayat sepupunya itu berada di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini, untuk bedah siasat dan akan disemadikan di Sendayan.

Berita Harian X