Ahad, 6 Oktober 2019 | 3:13pm
Pemandu dan kelindan lori maut selepas lori dinaiki merempuh bahagian belakang sebuah lori kontena yang dipercayai mengalami kerosakan di lorong kiri di Kilometer 294.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara. - Ihsan Bomba
Pemandu dan kelindan lori maut selepas lori dinaiki merempuh bahagian belakang sebuah lori kontena yang dipercayai mengalami kerosakan di lorong kiri di Kilometer 294.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara. - Ihsan Bomba

Pemandu, kelindan maut lori rempuh treler

GOPENG: Pemandu dan kelindan maut selepas lori mereka dinaiki merempuh bahagian belakang sebuah lori kontena yang dipercayai rosak di lorong kiri di Kilometer 294.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, pemandu lori, Abd Rafiq Rejab, 29, dan Robian Ramly, 43, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas parah di beberapa bahagian badan akibat tersepit.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, siasatan awal mendapati lori membawa muatan ikan dinaiki kedua-dua mangsa dan lori kontena membawa minyak masak berkenaan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Ipoh.

Katanya, mangsa gagal mengawal kenderaannya dan merempuh bahagian belakang lori kontena berkenaan yang dipercayai diletakkan di lorong kiri lebuh raya itu kerana rosak.

“Kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dibawa ke Hospital Kampar untuk bedah siasat.

“Siasatan lanjut mendapati pemandu lori kontena berusia 43 tahun hanya meletakkan papan tanda segitiga pada jarak lima meter iaitu tidak mengikut piawaian sebenar iaitu 30 meter dan menyalakan lampu kecemasan.

“Siasatan menunjukkan pemandu treler tidak berusaha untuk memandu kenderaannya ke lorong kecemasan selepas mengetahui ia mengalami kerosakan,” katanya dalam kenyataannya di sini, hari ini.

Hasron Nazri berkata, susulan itu, polis menahan pemandu treler berkenaan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 4.20 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, dua mangsa itu tersepit di tempat duduk masing-masing sebelum kerja-kerja menyelamat dijalankan.

Berita Harian X