Sabtu, 5 Oktober 2019 | 8:40am
Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda. - Foto Hazshah Abdul Rahman
Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda. - Foto Hazshah Abdul Rahman

Cabul dalam bas, lelaki warga Kanada ditahan

BELURAN: Seorang lelaki warga Kanada ditahan selepas dipercayai mencabul seorang wanita warga Australia di dalam sebuah bas ekspres ketika dalam perjalanan di Telupid, Rabu lalu.

Kejadian pada jam 1.47 pagi, ketika mangsa berusia 21 tahun duduk di dalam bas terbabit manakala suspek berusia 69 tahun duduk bersebelahan dengannya ketika mereka dalam perjalanan dari Kota Kinabalu ke Sandakan.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda, berkata mangsa menyedari perbuatan suspek yang didapati memasukkan tangan ke dalam pakaiannya.

“Hasil siasatan awal, mangsa menyedari suspek meraba bahagian paha dan menyentuh seluar dalamnya.

“Mangsa kemudian bertindak memarahi suspek atas perbuatan yang dilakukannya sehingga berlaku kekecohan sebelum pemandu bas terpaksa menukar tempat duduk suspek,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Berikutan kejadian itu, Kasim berkata, suspek kemudian diserahkan kepada polis sebaik tiba di Sandakan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan,” katanya.

Berita Harian X