Sabtu, 5 Oktober 2019 | 8:32am

Bulan madu berakhir tragedi

LANGKAWI: Saat manis berbulan madu pasangan warga Sudan berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka ditemui lemas ketika mandi di Tasik Dayang Bunting di sini, petang semalam.

Mayat mangsa, Muhayman Abubaker Daffallah Mohamedtoom, 31, ditemui pasukan penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat Langkawi pada jam 6.15 petang.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, berkata terdahulu pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian itu pada jam 5.15 petang.

“Siasatan mendapati pasangan itu baharu berkahwin dan datang ke Malaysia untuk berbulan madu serta menginap di sebuah hotel di sini.

“Pasangan itu mengambil pakej menjelajah pulau dan ke Tasik Dayang Bunting untuk mandi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, sejurus tiba di tempat kejadian, mangsa turun ke dalam tasik untuk mandi tanpa memakai jaket keselamatan.

“Mangsa dikatakan menyelam ke dalam tasik dan tidak timbul lalu isterinya meminta bantuan orang awam yang ada di persekitaran tasik itu.

“Mayat mangsa kemudian ditemui lemas oleh pasukan bomba sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Langkawi untuk bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, polis masih meneruskan siasatan dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Berita Harian X